Friday, 4 January 2013

Episod Satu

Posted by Hawa Adam at 8:12 pm

Assalamu alaikum. Saya Hawa, tulang rusuk kiri Adam. Di sini saya ingin berkongsi satu cerita.

Cerita cinta saya.

Bagaimana saya bertemu dengan Adam.

Semuanya bermula apabila ustazah saya berkata, “Lelaki yang beriman sekarang ni susah nak jumpa. Kalau dapat yang sembahyang lengkap lima kali sehari pun dah cukup bagus……….”

Sebenarnya saya tak pernah meletakkan sebarang kriteria dalam memilih suami. Kacak, tinggi, putih. Tidak. Saya mempunyai satu pendirian, apabila saya jatuh cinta dengan seseorang dan memutuskan untuk menjadi isteri dia, segala kelebihan dan kekurangan dia akan menjadi kriteria suami pilihan saya. Dan saya bukan seorang yang suka mengubah pendirian. Tetapi entah kenapa, kata-kata ustazah hari itu seperti melekat-lekat dalam kepala saya.

Membuat saya memikirkan kembali pendirian saya.

Ternyata saya sebenarnya begitu hampir dengan "the big picture" sehinggakan tak nampak susunan kepingan-kepingan puzzle yang sedang terbentuk, kerana hari itu saya telah menemukan kriteria pertama yang saya inginkan pada seorang suami – cukup sembahyang lima waktu sehari – yang menjadi titik bermulanya sebuah perjalanan yang akhirnya membawa saya kepada Adam. Dan sedikit sekali saya tahu pada ketika itu bahawa dalam perjalanan untuk bertemu dengan Adam, banyak lagi pendirian-pendirian saya yang bakal berubah.

Sebelum bertemu Adam

Cerita saya sebenarnya sangat panjang. Ia tidak seindah cerita cinta orang lain.

Bertemu. Berkenalan. Jatuh cinta. Berkahwin.

Tidak. Cerita saya penuh dengan liku-liku.

Air mata.

Sebelum bertemu Adam, ada satu ketika saya hampir berputus asa dengan kehidupan. Saya merasakan diri saya telah gagal. Semua yang saya lakukan hanya sia-sia. Sejak kecil saya sudah tahu apa yang saya inginkan dalam hidup. Menghabiskan pengajian pada usia 23 tahun, bekerja dan berkahwin setahun selepas itu. Dan pada usia 25 tahun, sudah bergelar ibu.

Tetapi sebaliknya pula yang terjadi.

Saya masih bergelut dengan projek tahun akhir ijazah sarjana muda ketika usia saya 24 tahun dan hubungan yang saya sangkakan akan bertahan hingga gerbang perkahwinan berakhir separuh jalan. Sedangkan kawan-kawan sekelas ada yang sudah menamatkan ijazah sarjana, ijazah doktor falsafah. Ada yang sudah dua tiga tahun meniti alam pekerjaan, sudah boleh menarik nafas lega kerana kerjaya yang semakin stabil dan hanya menghitung hari untuk disatukan dengan sang Adam dambaan hati.

Sepupu-sepupu yang lebih kurang sebaya juga ramai yang sudah berkahwin dan berkeluarga.

Saya merasa seperti kura-kura yang bergerak terlalu perlahan dan ketinggalan jauh di belakang. Adakalanya air mata akan menitis dengan sendiri apabila memikirkan hidup saya tidak menjadi seperti mana yang saya inginkan.


Tetapi itulah yang menarik tentang kehidupan.

Setiap perkara yang berlaku dalam hidup kita akan membawa kepada satu perkara yang lain dan kadang-kadang walau macam mana teruk sekalipun kita menginginkan sesuatu perkara itu, ia tidak terjadi kerana bukan itu yang akan membawa kita ke mana kita sepatutnya berada. Dan mungkin ada waktu kita dibawa dari satu kekecewaan kepada satu kekecewaan dan satu kegagalan kepada satu kegagalan tetapi kekecewaan dan kegagalan itulah yang menjadi sebab kita berada di tempat yang sepatutnya pada waktu yang sepatutnya.

Walaupun terlalu berat untuk ditanggung pada ketika itu, setiap kekecewaan yang datang sebenarnya telah membuka mata saya.

Mendidik dan mematangkan saya.

Membentuk saya menjadi orang yang saya perlu jadi.

Dan saya bersyukur kerana jika semua itu tidak terjadi, saya mungkin tidak akan bertemu dengan Adam.

1 comments:

Tiara Fazlin on January 09, 2013 11:30 am said...
This comment has been removed by the author.

Post a Comment

 

Coretan Hidup Hawa Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Ugg Boots Sale | web hosting